Pengertian Hukum Akal
Hukum akal itu ialah menetapkan suatu perkara kepada suatu perkara yang lain atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain dengan tidak berkehendak kepada dicuba pada menetapkan sesuatu perkara itu (bersalahan hukum 'adi yakni adat) dan tidak tergantung kepada sesuatu perbuatan yang diperbuat oleh mukallaf (yang bersalahan hukum syarii).
Pengertian Akal
Mengapa kita katakan wajib untuk mengetahui hukum akal itu?
Dalam syariat atau perundangan Islam, terdapat kaedah feqah atau qawa'idul fiqh yang menetapkan bahawa kalau perjalanan menuju ke satu-satu matlamat itu wajib, maka menempuh jalan-jalan yang membawa ke matlamat itu dikira wajib juga.
Untuk memahaminya, kita perhatikan satu contoh. Bagi mendirikan sembahyang, kita wajib berwudhuk dengan air. Katakanlah kita berada di satu kampung yang tidak terdapat sumber air semulajadi seperti air perigi, air mata air, sungai, laut, dan sebagainya. Dan satu-satunya jalan yang mudah untuk mendapatkan air ialah dengan menggali perigi. Maka menggali perigi itu hukumnya wajib. Inilah yang dimaksudkan dengan kaedah feqah tadi: Bila satu-satu matlamat itu wajib, menempuh jalan-jalan untuk menuju ke matlamat itu juga wajib.
Dan begitulah dengan kaedah mengenal ALLAH SWT. Hukum mengenal ALLAH itu wajib, malah ia diletakkan pada tempat yang pertama dan utama dalam ajaran Islam. Seseorang itu tidak akan dapat mengenal ALLAH dengan setepat-tepatnya kalau dia tidak mengetahui hukum akal. Dengan mengetahui hukum akal, ia menjadi sebab untuk kita mengenal ALLAH SWT. Oleh itu, mengetahui hukum akal itu wajib.
Apakah takrif hukum akal ?
Hukum akal ialah menetapkan sesuatu perkara kepada suatu perkara yang lain, atau menafikan suatu perkara daripada perkara yang lain. Dan dalam menetapkan sesuatu hukum itu, ia tidak berkehendakkan kepada dicuba.
Misalnya, dua campur dua, empat. Dalam hal ini, akal menetapkan dua campur dua itu sama dengan empat. Begitu jugalah dalam hal-hal lain yang seumpama ini. Akallah yang menetapkan satu-satu hukum itu, bukan adat dan bukan juga syarak.
Apabila hukum itu ditetapkan oleh syarak, ia bersumberkan Al Quran dan hadis. Tetapi dalam hal-hal seperti tadi, akal saja yang menetapkannya.
Satu contoh yang lain ialah, seorang anak itu tidak boleh menjadi lebih tua daripada ayahnya dalam masa yang sama. Atau dengan kata-kata lain, seorang anak itu tidak boleh lebih dahulu daripada ayahnya. Hukum seperti ini hanya ditetapkan oleh akal. Akal kita mengatakan bahawa seorang ayah itu pasti lebih tua daripada anaknya.
Contoh lain, setiap jirim ataupun benda mempunyai sifat-sifat yang mendatang, termasuk sifat-sifat yang berlawanan antara satu dengan yang lain. Umpamanya sifat gerak dan sifat diam. Setiap benda atau jirim boleh bergerak atau digerakkan, dan boleh diam atau didiamkan. Tangan kita misalnya, adalah satu jirim atau benda, dan ia boleh bergerak dan boleh diam. Sifat gerak dan diam itu dua sifat yang berlawanan. Menurut hukum yang telah ditetapkan oleh akal, dua sifat yang berlawanan ini tidak boleh terjadi serentak dalam satu ketika. Ertinya, tangan kita ini tidak boleh bergerak dan diam dalam satu masa yang sama.
Kita boleh gerakkan tangan kita dan kita boleh diamkan ia. Boleh jadi selepas kita gerakkan, kita diamkan ia, atau selepas ia diam kita gerakkan. Untuk kita gerakkan dan kita diamkan tangan kita serentak, tentu tidak boleh. Begitu juga diri kita ini, tak boleh kita lakukan gerak dan diam serentak.
Contoh sifat berlawanan yang lain ialah malam dan siang. Mana boleh malam dan siang itu berlaku dalam masa yang sama. Ia belum pernah terjadi. 'Dan begitulah seterusnya dengan sifat-sifat berlawanan yang lain. Tidak akan berlaku sifat-sifat berlawanan itu serentak dalam satu jirim.
Yang boleh berlaku ialah secara bergilir-gilir. Di antara gerak dan diam misalnya, boleh jadi gerak berlaku dahuiu kemudian baru diam, atau boleh jadi diam berlaku dahulu kemudian baru gerak. Begitu juga antara siang dengan malam boleh jadi siang berlaku dahulu, kemudian baru malam, atau malam dahulu kemudian baru siang. Semua ini, akal yang menetapkannya, bukan adat dan bukan syarak. Ini yang dikatakan hukum akal.
Untuk lebih jelas, kita turunkan satu contoh lagi. Akal telah menetapkan bahawa dua atau tiga dan sebagainya lebih banyak daripada satu. Dan satu itu kurang daripada dua atau tiga, dan sebagainya. Akal telah menetapkan demikiari dan sekali-kali akal tidak boleh menerima yang satu itu lebih daripada dua atau tiga dan sebagainya.
Kemudian, hukum akal ini tidak perlu dicoba-coba. Umpamanya, hukum akal yang menetapkan bahawa ayah itu lebih tua daripada anak, tidak perlu dicoba-coba seperti kita banding-bandingkan antara anak dan ayah. Tak perlu dibuat demikian kerana secara spontan akal menerima bahawa anak itu lebih muda daripada ayah, atau ayah itu lebih tua daripada anak. Jadi, hukum akal yang menetapkan bahawa ayah itu lebih tua daripada anak tak perlu dicuba-cuba.
Keistimewaan Akal
Seterusnya, yang perlu kita ketahui tentang hukum akal ialah bahawa akal itu satu sifat yang ALLAH SWT jadikan pada manusia. Ia ALLAH letakkan pada otak manusia dengan segala ciri yang istimewa. Dengan adanya sifat ini, terbedalah manusia itu daripada makhluk-makhluk lain seperti haiwan. Dalam ertikata yang lain, dengan adanya akal, termulialah manusia ini dibandingkan dengan makhluk lain di muka bumi ALLAH ini.
Di antara yang menjadikan istimewa dan mulianya kehidupan manusia ini dibandingkan dengan haiwan ialah, dengan adanya akal, manusia boleh membangunkan kemajuan dan boleh melahirkan kehidupan yang bertamadun. Haiwan yang tidak dibekalkan oleh ALLAH SWT dengan akal, tidak boleh meningkatkan cara hidupnya. Sebab itulah haiwan tidak mempunyai kebudayaan. Cara hidup haiwan adalah mengikut tabiat semula jadinya, sejak ia mula dicipta oleh Allah. Cuma kita tidak mengetahuinya kerana tidak ada diceritakan di dalam kitab-kitab. Dan kita juga tidak tahu bila ia bermula. Bagi manusia, kita tahu ia bermula daripada Nabi Adam as.
Cara hidup hewan bermula sejak ia dijadikan. Misalnya, bagaimana kehidupan datuk nenek ayam itik yang mula-mula dahulu, begitulah kehidupan seluruh ayam ataupun itik yang ada hari ini; tidak berubah-ubah dan tidak meningkat-ningkat. Ayam itik tidak boleh membuat perubahan hidup kerana ia tidak berakal.
Kalau ayam itu tidak dibuatkan rumah atau reban oleh tuannya, tidak berumah atau berebanlah hidupnya. Dan begitulah juga dengan hewan-hewan lain. Berbeda halnya dengan manusia. Dengan adanya akal, manusia boleh berkebudayaan dan bertamadun. Manusia boleh membuat perubahan dan peningkatan hidupnya dari satu masa ke satu masa. Jadi, akal begitu berperanan sekali kepada manusia, malah mempunyai peranan yang cukup utama yang meletakkan kemuliaan manusia itu sendiri. Sebab itu, Allah mengingatkan kita di dalam Al Quran tentang peranan akal. Firman Allah:
Terjemahannya: Dan sesungguhnya telah Kami muliakan anak-anak Adam, Kami angkut mereka di daratan dan di lautan. Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna ke atas kebanyakan makhluk yang telah Kami ciptakan. (Al Israk: 70)
Di dalam ayat di atas, Allah menyatakan kepada kita betapa Allah telah memuliakan anak cucu Nabi Adam iaitu manusia, yang diberi kelebihan-kelebihan berbanding dengan makhluk lain ciptaan ALLAH. Manusia telah dibekalkan oleh ALLAH SWT dengan akal hingga ALLAH menyerahkan daratan dan lautan untuk dikuasai oleh mereka.
Dengan akal, manusia telah dapat membongkar segala khazanah di dalam lautan, daripada ikannya, mutiaranya, beliannya, hinggalah kepada minyak galiannya dan bermacam-macam khazanah lagi. Malah manusia juga telah dapat menggunakan laut untuk memudahkan kehidupan. Misalnya, manusia telah menghasilkan kapal yang bergerak di permukaan laut, dan kapal selam yang boleh bergerak di dalam laut seperti ikan.
Akal fikiran yang ada pada manusia seterusnya telah membolehkan manusia menguasai angkasa lepas. Artinya, bukan saja lautan, malah daratan 'dan seluruhnya juga telah Allah serahkan kepada manusia. Dengan penguasaan manusia di bidang angkasa lepas, hari ini sudah ada manusia yang sampai ke bulan. Semua keupayaan dan kemampuan ini bukan disebabkan oleh kekuatan fisik atau kekuatan lahir manusia, tetapi disebabkan kekuatan tenaga berfikir. Ini ternyata sekali berlaku di kalangan manusia di Barat sana.
Orang-orang Barat mengasah sungguh-sungguh tenaga fikir mereka hingga membolehkan mereka mencipta berbagai-bagai perkara seperti radio, Tv, kapal terbang, dan lain-lain. Mereka tumpukan sungguh-sungguh kepada penggunaan akal fikiran mereka hinggakan kita dapati mereka tidak sempat untuk memikir fasal ALLAH. Setiap saat mereka berfikir dengan akal hingga mereka lupa kepada Maha Pencipta, yang memberi mereka akal itu. Ini yang malangnya.
Jika dibandingkan dengan umat Islam, walaupun kita tidak mengasah sungguh-sungguh kekuatan akal fikiran ini, tetapi tidaklah sampai kita melupakan ALLAH. Tidaklah sampai kita kufur, ingkar dan berbuat mungkar. Sedangkan mereka terus khayal dengan kekuatan akal fikiran mereka hingga mereka kufur dan ingkar kepada ALLAH SWT. Cuma, oleh kerana mereka tumpukan sungguh-sungguh kepada akal fikiran mereka itu, mereka lebih maju daripada kita.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar